January 28, 2009

Home Nursing needs a lot of human psychology





PESAKIT perlu dibawa bersiar-siar menghirup udara segar di luar rumah.
KESIHATAN
ARKIB : 25/01/2009
Sokongan psikologi di rumah
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAHadawiyah@utusan.com.my
SECARA umum, tidak ramai di kalangan kita yang mengetahui tentang kaedah rawatan atau proses pemulihan sesuatu jenis penyakit dengan mendalam sehinggalah kita sendiri atau ahli keluarga yang menghidapinya. Kurangnya maklumat atau pengetahuan berhubung sesuatu jenis penyakit menyebabkan kita beranggapan bahawa penyakit yang dihidapi itu sukar untuk dipulihkan atau sekurang-kurangnya diminimumkan.
Dengan adanya sokongan moral serta penjagaan khusus di rumah, ia mewujudkan persekitaran yang positif untuk pesakit.
Ramai yang tidak mengetahui, merawat pesakit di rumah dapat memberi sokongan psikologi keran dengan adanya keluarga mewujudkan suasana yang lebih ceria.
Lebih-lebih lagi jika pesakit terdiri daripada mereka yang tua atau uzur, kehadiran anak-anak dan cucu-cucu memberi semangat kepada pesakit untuk pulih.
Ia ibarat memberi kehidupan atau sinar kepada pesakit.
Oleh itu, Home Nursing Providers Sdn. Bhd (HNP) ditubuhkan sejak tahun 2004 yang diasaskan oleh Yakob Abdul Rahman W. Scholer mencetus fenomena baru bagi penjagaan dan rawatan pesakit di rumah.
HNP bertujuan menyediakan perkhidmatan jururawat dan perubatan ke rumah pesakit.
Menurut Yakob, HNP diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tempatan terhadap pentingnya mengetahui penjagaan dan rawatan orang sakit.
"Selain hospital, rumah boleh menjadi tempat rawatan yang boleh membangunkan psikologi pesakit. Orang tua secara semula jadi akan mengalami keuzuran fizikal selain beberapa penyakit seperti angin ahmar, diabetes dan sebagainya.
"Sekitar umur 65 tahun ke atas, keupayaan seseorang akan menurun dam mengalami masalah kesihatan. Bukan itu pesakit lain seperti strok juga memerlukan penjagaan yang baik di rumah," katanya.
Tambah Yakob, dengan adanya perkhidmatan menerusi HNP, keluarga boleh mempelajari kaedah rawatan berbentuk aktiviti fizikal yang akan ditunjuk ajar oleh jururawat HNP.
"Melalui pengalaman saya, ada segelintir anak-anak pesakit yang uzur tidak tahu menguruskan rutin harian pesakit termasuk bagaimana mereka mengurus pesakit untuk membuang air. Bukan itu sahaja, penjagaan pemakanan pesakit juga terabai. Perlu diingat, pesakit yang uzur memerlukan makanan seperti sayur serta buah-buahan yang segar," jelasnya yang berasal dari Jerman.
Selain itu, bagi mereka yang berkemampuan , pembantu rumah mereka boleh mempelajari kaedah rawatan pesakit yang lebih efektif.
"Berdasarkan pengalaman saya, kebanyakan pesakit uzur mengalami kesan melecet di belakang badan. Ini kerana pesakit itu tidak banyak bergerak sebaliknya hanya dibiarkan terlantar di atas katil. Persepsi ini perlu diubahkan kerana pesakit perlu menyedut udara segar. Dengan adanya penjagaan eksklusif di rumah, pesakit boleh merasai suasana yang baru," jelasnya.
Tambah Yakob, kebiasaannya pesakit menderita di bawah jagaan keluarga sendiri mahupun di pusat rawatan perubatan.
Walaupun pesakit itu sentiasa diberi perhatian dengan penuh kasih sayang dan layanan yang secukupnya tetapi penjaga kurang arif bagaimana hendak mengendalikan dengan betul.
"Kebanyakan orang tua dan uzur banyak menghabiskan masa di rumah dengan berbaring di atas katil. Terlalu sedikit aktiviti yang dilakukan. Pesakit sebenarnya boleh melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan-jalan, renang atau berbual-bual bersama keluarga untuk menjadikan kehidupan pesakit lebih berkualiti," katanya.
Yakob menjelaskan, pesakit tidak perlu hanya tinggal di atas katil untuk menunggu mati kerana keluarga atau penjaga boleh membawa mereka bersiar sekitar luar rumah untuk menghirup udara segar di luar.
Sebagai keluarga pesakit, kita perlu ingat layanan dan kasih yang tulus ikhlas dapat memberikan pesakit harapan untuk sembuh.
"Faktor inilah yang menyebabkan ramai pesakit lebih suka tinggal di rumah daripada di hospital atau pusat jagaan orang tua. Ini kerana mereka mengharapkan ahli keluarga terus memberi sokongan agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan seronok," jelasnya.
Dengan adanya perkhidmatan HNP, ia dapat membantu pesakit yang tinggal di rumah mendapat rawatan dan penjagaan yang betul. Selain itu, ahli keluarga atau penjaga pesakit mendapat maklumat yang bermanfaat. Ini akan memudahkan mereka mengendalikan kesihatan pesakit di rumah.
Menyedari keperluan manusia terhadap bantuan perubatan tidak mengira masa, HNP sedia memberi perkhidmatan selama 24 jam.
"Kami ada lebih kurang 20 orang kakitangan yang terlatih sedia memberi perkhidmatan apabila diperlukan. Hanya dengan membuat panggilan, jururawat ini akan dihantar ke rumah pesakit.
"Mungkin ini kelihatan agak ringkas, tetapi berdasarkan pengalaman saya, ada pelanggan yang tidak tahu keperluan makanan pesakit. Petugas yang terlatih ini akan menjalankan tugas dari rumah ke rumah akan memberi tunjuk ajar," katanya.
Antara perkhidmatan yang diberikan HNP termasuk mengendalikan peralatan perubatan, merawat luka dan kecederaan, memeriksa tekanan darah tinggi dan memberi sokongan psikologi.
Selain itu, HNP membantu pesakit membersihkan diri melakukan senaman kesihatan, memberi makan dan penjagaan selepas bersalin.
Menurut Yakob, tugas ini lebih kepada kerja-kerja sosial kerana ia melibatkan orang-orang yang tidak sihat sama ada yang terlantar di atas katil dengan jururawat yang dilatih.
"Mereka ini akan menguruskan pesakit termasuk merawat dan melayan pesakit sehinggalah perkara membuang najis.
"Dalam pada itu, HNP menekankan kualiti dalam perkhidmatan yang diberi dan rawatan dibayar dengan harga yang lebih rendah berbanding pasaran luar untuk meringankan beban keluarga pesakit bagi menampung kos perbelanjaan Tidak ketinggalan, HNP mendapat khidmat nasihat dan kerjasama daripada pihak doktor, hospital, insurans perubatan, perkhidmatan perubatan dan kesihatan menguruskan HNP.
Menyusuri kisah hidup Yakob, dia pernah mengikuti latihan dalam bidang kejururawatan di Jerman selama empat tahun mulai tahun 1956. Kemudian, Yakob datang ke Malaysia untuk bekerja di bawah Kumpulan Perubatan Katolik dengan menyertai Kumpulan Perubatan Bergerak Malaysia. Selepas itu, Yakob melibatkan diri dalam projek penubuhan Hospital Fatima di Ipoh pada tahun 1963. Ketika bertugas di hospital, Yakob mula mempelajari tentang Islam tetapi sekadar untuk ilmu pengetahuan.
Yakob yang menjadi anak angkat Tunku Abdul Rahman telah mengambil keputusan memeluk Islam pada tahun 1975. Lima tahun kemudian, Yakob ke Jerman semula untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi.
Selepas beberapa tahun, Yakob datang semula ke Malaysia dan menubuhkan Pusat Pemulihan Dadah untuk wanita di Kampung Bercham, Ipoh dan Program Latihan Pertama. Selain itu, Yakob menubuhkan Program Latihan untuk Pakar Terapi Penglihatan. Selepas kembali ke Jerman pada tahun 1990, Yakob bekerja di Universiti Mainz di samping membantu dalam penubuhan Employment of Mobile Service. Pengalaman membantu wanita berusia 70 tahun yang tinggal bersendirian di rumah dan dianggap seperti ibu sendiri mencetuskan idea untuk membuka HNP di Malaysia.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang HNP boleh mengunjungi HNP di 34 SS, 7/18 Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor atau hubungi talian 03-78777202 atau 017-2809816.
Rawatan strok di rumah
Strok antara penyakit yang memerlukan lebih perhatian di rumah. Sementara itu, dengan adanya sokongan moral, pesakit ini akan lebih ceria dalam melayari kehidupan mereka. Strok merupakan keadaan yang berlaku tiba-tiba akibat rosak atau pecahnya salur darah otak yang boleh menjadikan seseorang tidak sedar diri, biasanya diikuti oleh kelumpuhan atau penyekatan salur darah oleh gumpalan darah.
Berikut merupakan sedikit panduan bagi rawatan pesakit angin ahmar atau strok di rumah.
l Sediakan stokin untuk mengelakkan berlakunya darah beku dalam saluran darah (deep vein thrombosis). Ia berfungsi untuk mencengkam kulit dan mengempiskan vena supaya darah tidak bertakung.
l Bagi mengelakkan kekejangan dan kaku otot, pesakit dan ahli keluarga pesakit dilatih cara-cara yang betul untuk mengalihkan kedudukan pesakit, membawa ke tandas, mengangkat dan sebagainya.
l jururawat membuat penilaian sama ada keadaan rumah pesakit sesuai untuk mereka ke tandas, katil dan sebagainya. Mereka juga akan membuat penilaian sama ada pesakit memerlukan alat-alat bantuan berjalan seperti tongkat, kerusi roda dan lain-lain.
l Pesakit yang menghadapi masalah gangguan pertuturan dan pemahaman dalam berkomunikasi akan dibantu oleh pakar pertuturan untuk bertutur.
l Bagi memastikan pesakit mendapat zat makanan yang mencukupi, pakar pemakanan akan menganggarkan keperluan kalori yang diperlukan.
Rawatan paliatif
Penjagaan atau rawatan paliatif ini merangkumi penjagaan semenjak pesakit dimasukkan ke wad di hospital sehinggalah penjagaan pesakit di rumah.
Banyak kes menyaksikan bagaimana ramai pesakit kanser yang terbiar dan terlantar tanpa sebarang usaha-usaha untuk mengurangkan penderitaan mereka dan pesakit-pesakit ini akan meninggal dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Kaedah rawatan yang bertujuan untuk mengurangkan penderitaan pesakit kanser yang berada pada peringkat akhir ataupun yang tidak boleh disembuhkan lagi dinamakan penjagaan ataupun rawatan paliatif.
Penjagaan paliatif bermaksud penjagaan holistik yang merangkumi rawatan melegakan masalah fizikal, sosial dan psikologi pesakit.
Pesakit yang dimaksudkan di sini adalah pesakit yang menghidap penyakit-penyakit kronik yang serius dan tidak ada peluang untuk sembuh. Penjagaan paliatif ini juga meliputi penyakit buah pinggang dan lain-lain.
Walau bagaimanapun penyakit yang sering dikaitkan dengan penjagaan paliatif ini adalah penyakit kanser. Penjagaan paliatif telah bertapak lama di negara kita dan sehingga hari ini terdapat banyak pusat-pusat rawatan paliatif sama ada di Hospital Kerajaan ataupun swasta.
Ia dikendalikan oleh petugas-petugas yang datangnya dari berbagai-bagai latar belakang termasuk bekas-bekas pesakit sendiri.
Hampir di semua hospital-hospital besar kerajaan mempunyai pusat rawatan paliatif. Pusat-pusat rawatan paliatif ini akan mempunyai doktor yang bertugas, jururawat-jururawat dan sukarelawan-sukarelawan. Di tempat-tempat tertentu, pusat rawatan paliatif ini dinamakan Hospis. Penjagaan paliatif merangkumi aspek fizikal , mental (psikologi) dan juga sosial, dengan itu penjagaan paliatif ini memerlukan penglibatan semua pihak seperti doktor, jururawat, pekerja sosial, pakar psikiatri dan yang paling penting adalah penglibatan ahli-ahli keluarga yang terdekat.
If you are looking for MOBILE NURSING OR MOBILE DOCTOR please contact: www.hnp-mobilenursing.com or nursing@hnp-mobilenursing.com or +6 03 78777202

No comments: